Salam Sejahtera dan Selamat Datang

www.rozaidirazali.blogspot.com

Terima Kasih kerana mengunjungi blog ini. Insya Allah saya akan memastikan kesemua bahan yang terdapat di dalam blog ini bersih daripada anasir-anasir tidak sihat dan jauh daripada isu-isu yang berbau politik yang keterlaluan. Maka saya berharap kesemua "followers" tidak akan menggunakan blog ini bagi tujuan menghentam ataupun melepaskan marah anda tapi lebih kepada tujuan berkongsi pendapat dan ilmu yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada kita semua.



Sekian.

Tuesday, August 10, 2010

RAHSIA DISEBALIK PUASA


IBADAH puasa yang difardukan oleh Allah pada bulan Ramadan mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri. Namun, adakah umat Islam kini benar-benar menghayati falsafah dan rahsia puasa Ramadan yang diwajibkan ini?

Jika umat Islam pada hari ini menghayati falsafah dan hikmah di sebalik kewajipan berpuasa, nescaya setiap individu Muslim akan membuat persediaan rapi menyambut kedatangan Ramadan. Mereka akan berlumba-lumba memanfaatkan Ramadan dengan sebaik mungkin, serta bulan ini akan menjadi bulan yang paling bermakna dalam hidupnya.

Hanya orang menghayati kelebihan Ramadan akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini. Puasa Ramadan diwajibkan oleh Allah kepada umat Islam untuk melahirkan insan yang bertakwa sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 183.

Oleh itu, sewajarnya setiap individu Muslim mengambil peluang luas yang telah disediakan oleh Allah pada bulan ini untuk mendidik diri ke arah ketakwaan kepada Allah serta mendapat pengampunan daripada-Nya.

Untuk memastikan agar mendapat ketakwaan, seseorang itu hendaklah membuat persiapan awal untuk berpuasa dengan cara yang sebenarnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, iaitu dengan berpuasa secara khusus al-khusus seperti yang dijelaskan oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali.

Puasa bukanlah setakat menahan perut daripada makan, minum dan melakukan hubungan seksual antara suami isteri pada siang hari semata-mata, akan tetapi puasa yang mempunyai kualiti ialah puasa yang menyeluruh, termasuk menjaga pancaindera serta hati nurani daripada terjebak dalam sebarang unsur maksiat.

Puasa sebeginilah yang akan menghasilkan ketakwaan kepada Allah. Sesuatu yang amat merugikan bagi sesiapa yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya.

Dalam kegembiraan menyambut puasa Ramadan, kita seharusnya memahami dengan jelas hakikat, rahsia dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah, tetapi dapat menolong kita untuk menunaikan puasa dengan sempurna.

Ibadah puasa melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Di samping itu, puasa juga dapat melatih manusia menjadi insan yang beramanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal dan tidak sempurna. Puasa juga dapat melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa.

Hanya orang yang berpuasa dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan ini, diharap seseorang Muslim itu sentiasa prihatin dan memberi bantuan serta sumbangan kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah, akan dapat membentuk jiwa yang bersih, dapat menahan nafsu daripada melakukan sifat-sifat tercela dan sebagainya.

Demikian juga dari sudut kesihatan. Puasa dapat merehatkan perut dan membetulkan alat penghadam, mengurangkan kegemukan serta menghilangkan lemak di badan yang boleh menjauhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya. Justeru, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat.

Hadis ini memberi gambaran yang nyata pada diri kita akan hikmah di sebalik syariat berpuasa. Para pakar perubatan bersetuju bahawa kantung perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam penyakit terutamanya kegemukan yang menyebabkan timbulnya pula penyakit lain.

Maka puasalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit kerana melaluinya unsur-unsur racun dalam makanan dapat dineutralkan setelah berpadu antara satu sama lain.

Sesungguhnya kesan lapar dalam perubatan adalah lebih baik daripada penggunaan ubat secara berterusan. Seorang pakar dari Barat menyatakan bahawa setiap orang perlu menjalani tempoh berpuasa walaupun tidak dikesan menghadapi sebarang penyakit. Ini kerana ia dapat membersihkan badan daripada racun-racun yang berkumpul dalamnya.

Dr. Hisyam Ibrahim aI-Khatib menjelaskan bahawa puasa juga memberi peluang kepada organ-organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman. Pengkajian ini diteruskan apabila didapati punca berlakunya penyakit-penyakit adalah disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak terkawal atau lebih daripada kadar keperluan badan.

Amalan puasa yang disyariatkan oleh Allah terutamanya puasa Ramadan dapat menurunkan berat badan sehingga mencapai ke satu paras yang dikehendaki.

Jika ia diteruskan dengan pelaksanaan puasa sunat seperti berpuasa di bulan Rejab dan Syaaban seterusnya Isnin dan Khamis nescaya akan terpeliharalah tahap kesihatan seseorang bagi tempoh setahun.

Kesuburan lelaki

Pakar perubatan Islam iaitu Dr. Samir Abbas Malik Abdul Aziz dari Arab Saudi membuat eksperimen terhadap 21 penduduk tentang kesan puasa pada kesuburan lelaki.

Eksperimen ini membuktikan puasa adalah satu cara yang amat berkesan menghasilkan benih dan pertumbuhan kesuburan seperti mana berkesannya puasa dalam perkembangan bagi pertumbuhan badan seseorang. Daripada sudut kesuburan seorang wanita pula, puasa juga merupakan satu cara yang dapat mengurangkan kesan hormon broloktin yang menyebabkan kemandulan.

Jelasnya, puasa dapat merehatkan sistem tubuh dan dapat mengelakkan penyakit-penyakit seperti kencing manis dan kegendutan. Daripada sudut fizikalnya, puasa juga dapat merehatkan tubuh badan.

Secara tidak langsung, amalan-amalan buruk juga dapat dihakis sedikit demi sedikit. Contohnya membantu membasmi ketagihan merokok, dadah dan minuman keras yang boleh membawa kerosakan organ dalam badan.

Dua pengkaji Islam dari Syria dalam buku mereka yang berjudul al-Tib fi al-Quran al-Karim menerangkan kepada kita akan faedah berpuasa:

Memberi peluang kepada organ-organ dalam badan mengemaskinikan sistem pemprosesan supaya berfungsi semula dengan berkesan.

Merehatkan sistem penyahtinjaan daripada berfungsi berterusan.

Rasa lapar dapat membangkitkan semula selera makan selepas berpuasa serta mendatangkan kecergasan badan dan kecerdasan minda.


Rozaidi Razali

No comments:

Post a Comment