Salam Sejahtera dan Selamat Datang

www.rozaidirazali.blogspot.com

Terima Kasih kerana mengunjungi blog ini. Insya Allah saya akan memastikan kesemua bahan yang terdapat di dalam blog ini bersih daripada anasir-anasir tidak sihat dan jauh daripada isu-isu yang berbau politik yang keterlaluan. Maka saya berharap kesemua "followers" tidak akan menggunakan blog ini bagi tujuan menghentam ataupun melepaskan marah anda tapi lebih kepada tujuan berkongsi pendapat dan ilmu yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada kita semua.



Sekian.

Monday, June 21, 2010

KEARAH MEMBINA MINDA KELAS PERTAMA, PERLUKAH?

Mengapakah kita diajak untuk memiliki Minda Kelas Pertama?
Apakah kepentingannya kepada kita dan bagaimana kita mampu merubah pemikiran kita kepada Minda Kelas Pertama?

Bukan saja kita sebagai rakyat Malaysia perlu mempunyai pemikiran kelas pertama bahkan sebagai seorang Muslim kita dituntut untuk memiliki pemikiran kelas pertama. Jadi, apakah yang dimaksudkan denganMinda Kelas Pertama”?

Menyelusuri sejarah kegemilangan ketamadunan dunia bermula dengan tamadun dunia dan manusia yang telah menyaksikan lahirnya tokoh, cendekiawan dan pemimpin yang banyak memainkan peranan penting dalam menyumbang ke arah pembangunan pembangunan manusia.

Pada zaman Greek dan Rom misalnya, wujudnya para cendekiawan dan pemimpin seperti Aristotle, Socrates, Julius Caesar, Octavious dan Marcus Tullius Cicero yang merupakan seorang negarawan dan pemidato terkenal era tersebut. Kegemilangan tamadun Islam pula bermula dengan kelahiran tokoh yang hebat seperti Nabi Muhammad SAW, Khulafa ar-Rasyidin, para anbiya dan para ulama agung. Disusuli pula dengan kelahiran para cendekiawan seperti Ibnu Sina, Ibnu Rushd, Al-Khawarizmi yang memainkan peranan penting dalam membentuk dan menyumbang kepada pembangunan manusia sejagat. Tokoh-tokoh yang disebutkan ini merupakan mereka yang mempunyai Minda Kelas Pertama.

Justeru, mereka yang mempunyai Minda Kelas Pertama ini merupakan golongan yang mempunyai tahap keilmuan dan falsafah yang tinggi dengan penguasaannya di dalam pelbagai lapangan ilmuan. Golongan kelas pemikiran pertama ini turut bijaksana dan kreatif dalam menyusun serta mencorakkan masyarakatnya sehingga masyarakat boleh terbentuk hasil acuan pemikiran golongan ini. Di samping itu, golongan yang mempunyai pemikiran kelas pertama ini sering siap-siaga dalam menghadapi cabaran dan sentiasa positif dalam mengharungi kehidupan seharian mereka.

Minda Kelas Pertama difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ini termasuklah dalam aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti dan budaya yang akhirnya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.

Oleh itu, dalam usaha kita untuk melahirkan rakyat yang memiliki Minda Kelas Pertama, pihak kerajaan telah pun merancang strategi yang diperlukan melalui peningkatan terhadap keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan, pengukuhan keupayaan sains, R&D dan inovasi bagi mencapai matlamat bagi membentuk masyarakat yang berbudaya dan memiliki kekuatan dari segi moral dan sahsiah diri. Maka, galakkan budaya membaca, sumbangan terhadap perkongsian ilmu, meningkatkan pengetahuan mengenai teknologi maklumat dan menjadi prointelektual merupakan budaya yang sangat dituntut bagi memastikan masyarakat sentiasa menyediakan diri untuk menguasai ilmu pengetahuan supaya mampu memiliki kemantapan dari segi informasi dan kemahiran.

Sehubungan itu juga, dengan penguasaan ilmu ini, kita akan semakin terdedah kepada bidang sains, R&D dan inovasi yang juga merupakan salah satu kaedah dalam penghasilan Minda Kelas Pertama. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai mentaliti yang bijak pandai, kita seharusnya mampu memahami bahawa keperluan dan cabaran global ini berteraskan kepada pembentukan modal insan yang berpengetahuan serta berinovasi tinggi. Kualiti modal insan yang bermutu tinggi menjadi peneraju kepada kekayaan dan potensi negara. Bahkan, ianya meliputi aspek akhlak mulia, nilai murni, budi bahasa, integriti, beretika dan mengikut norma sebagai masyarakat timur.

Maka, perkara pokok yang utama adalah mewujudkan Minda Kelas Pertama dalam diri sendiri. Kita perlu membentuk, melatih dan menggunakan pemikiran sebaik mungkin bagi memastikan kita dapat membentuk pemikiran kelas pertama. Andainya kita mahu berubah kepada kehidupan yang lebih baik sewajarnya kita perlu mengubah corak pemikiran kita. Kita perlu mempunyai pemikiran yang bertahap tinggi dan bersifat positif hatta cabaran dan dugaan tersebut merupakan sesuatu yang berunsurkan negatif. Kita perlu melatih dan mendidik diri kita untyuk melihat sesuatu yang negatif tersebut dengan method yang positif dan bukannya terus terpengaruh dengan sifat negatif tersebut.

Untuk itu, kita perlulah sentiasa berfikir untuk memperbaiki dan memperkembangkan idea yang sedia ada. Sekaligus, membantu kita untuk menyelesaikan sebarang masalah atau kekurangan yang masih ada. Dalam masa yang sama, kita perlu bersedia untu menerima dan bersedia menghadapi sebarang cabaran dan masalah yang tidak terjangka. Perubahan dan pengembangan minda yang sihat dapat membantu kita untuk melihat dunia dari pelbagai perspektif dan persepsi. Sebolehnya, cuba elakkan diri kita daripada mempunyai pemikiran yang sempit. Kita tingkatkan ilmu pengetahuan sama ada melalui buku atau bahan bacaan di Internet bahkan media massa elektronik (televisyen dan radio) yang banyak memaparkan rancangan bercorak ilmiah seperti National Geografic, Majalah 3 dan sebagainya dalam rangkaian ASTRO. Ni asyik HBO, STAR Movie, BOX OFFICE...bila nak berubah ni??

Perkara paling utama juga adalah dengan mengelakkan diri daripada melibatkan diri dengan aktiviti membekukan minda dan merosakkan pemikiran yang akhirnya tidak menyumbang ke arah pembentukan sahsiah peribadi. Rakyat atau masyarakat yang berfikir dengan Minda Kelas Pertama akan melahirkan lebih ramai cendekiawan dan pemimpin yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat. Bukan saja mampu memberikan faedah dan manfaat kepada golongan terpelajar malah golongan suri rumah dan pekerja di peringkat bawahan pastinya dapat merasai impak daripada mempunyai Minda Kelas Pertama ini.

Secara kesimpulannya, lengkapilah diri kita dengan Minda Kelas Pertama agar kita menjadi modal insan unggul yang terlibat dengan segenap ruang pembangunan negara. Tiada guna wang ringgit yang banyak dan berjawatan tinggi tetapi pemikiran kita masih ditakuk yang lama (pemikiran kelas ketiga). Janganlah kita menunggu diri untuk disuap dan ditongkatkan. Sesekali, cubalah kita merubah untuk menjadi individu yang berdiri atas kaki sendiri (berdikari) dan mampu bersaing secara kompetitif dengan bangsa lain. Jadilah pemikir yang hebat (Minda Kelas Pertama) walaupun jawatan kita cuma sebagai seorang kerani pejabat!

Wallahualam

Saya juga ingin memetik daripada Hadis Anas bin Malik r.a., sabda Rasulullah s.a.w.:

"Menuntut ilmu adalah fardu atas setiap orang Islam, dan penuntut ilmu akan didoa keampunan oleh semua termasuk ikan-ikan di lautan"

Secara ringkas apa yang boleh kita faham daripada hadis diatas ialah ketahuilah bahawa ilmu lebih utama daripada amal. Amal ibadah tidak diterima kecuali dengan ilmu. Ibn Ruslan dalam kitab Zubadnya menulis syair yang bermaksud:

Setiap orang yang beramal tanpa ilmu,
Maka amalnya ditolak dan tidak diterima.

Ilmu pengetahuan adalah kawan yang setia ketika sepi, pembimbing ke jalan petunjuk agama dan modal dalam perjuangan untuk mendapat kemulian di dunia dan akhirat. Orang yang malas mencari dan menambah ilmu pengetahuan bagai lampu kehabisan minyak dan dia akan hidup dalam kegelapan. Hidup akan cemerlang jika dibekali dengan ilmu pengetahuan.

Note: Be my follower so next post will be something about "Knowledge, Why We need it badly?".

Rozaidi Razali

No comments:

Post a Comment